Saturday 24 November 2012

RUJUKAN

RUJUKAN

Aleeya Yasmin. Standard Praktis Champion.Bahasa Malaysia Tahun 3.Pelangi Sdn.Bhd.

Kisah Teladan:Kura-kura & Pelanduk Mencuri Rambutan(Ya),Uploaded on Apr 24, 2011,This multimedia project was made by 20793 Chia June Hau 20829 Chua Poi Poi 21695 Nga Xiao Fong 18696 Khairul Amri Ahmad.

http://www.scribd.com/doc/24399378/KATA-GANDA

Friday 23 November 2012

Latihan pemahaman tatabahasa(Kata ganda).

Isikan tempat kosong dengan jawapan yang sesuai.

1.Dalam lumba lari itu, ____________ dapat mengalahkan arnab kerana arnab tertidur.
2.Kanak-kanak itu gembira ketika ber_________ di taman permainan itu.
3.Selepas menang pertandingan itu, kami _________ di restoran itu.
4._________ di sekolah itu turut menyertai kursus komputer.
5.Orang tua itu mencabut __________ yang tumbuh di bawah pokok itu.
6.Mereka beroleh ....................... dari bukit yang berhampiran.
7.Rumah yang didiami oleh orang-orang kaya itu ______________.
8.Ibu rajin ..................... di pasar raya besar.
9.Pemandangan .....................  yang tinggi itu sungguh indah.
10.Buku yang dipinjamnya dari perpustakaan itu __________ semuanya.
11.Pasar itu menjual ..................yang segar untuk para pelanggannya.
12.Pak Karim sedang mengumpulkan ........................ untuk dijadikan kayu api.



guru-guru
cendawan-cendawan
tebal-tebal
besar-besar
makan-makan
main-main
batu-batan
sayur-mayur
kura-kura
kayu-kayan
beli-belah
bukit-bukau

Mempelajari Tatabahasa:Kata Ganda

 

KATA GANDA
Kata ganda ialah kata yang terhasil atau terbentuk daripada kata yang digandakan atau diulang sama adasebahagian atau keseluruhannya.
Kata gandi terbahagi kepada empat bentuk seperti yang berikut:-
a)      Kata ganda seluruh
b)      Kata ganda separa
c)       Kata ganda bersajak
d)      Kata ganda Berimbuhan
a)Kata ganda seluruh terhasil atau terbentuk daripada kata dasar yang digandakan seluruhnya.Kata    ganda ini diberi tanda sempang(-)
Contohnya:-
1.Kata dasar:guru (kata nama)
    Kata  ganda seluruh:guru-guru
2.Kata dasar:cendawan (kata nama)
    Kata ganda seluruh:cendawan-cendawan
3.Kata dasar:besar (kata adjektif)
    Kata ganda seluruh:besar-besar
4.Kata dasar:tebal (kata adjektif)
    Kata ganda seluruh:tebal-tebal
5. Kata dasar:makan (kata kerja)
    Kata ganda seluruh:makan-makan
6. Kata dasar:main (kata kerja)
    Kata ganda seluruh:main-main
b)Kata ganda bersajak ialah kata ganda yang mengalami perubahan bunyi dengan memberikan kata gandaanyang berbeza daripada kata dasarnya.Kata ganda bersajak ini diberi tanda sempang ( - ).
Contohnya:-
1.Kata ganda bersajak(kata nama):batu-batan,gunung-ganang,sayur-mayur,kayu -kayan dan sebagainya.
2.Kata ganda bersajak(kata adjektif ):segar -bugar,kusut-masai,riuh-rendah,terang-benderang dan sebagainya.
3.kata ganda bersajak(kata kerja):kacau-bilau,beli-belah,huru-hara,lenggang-lenggok dan sebagainya.
 

Kisah Teladan:Zirafah Yang Panjang Akal

Zirafah yang Panjang Akal

            Binatang-binatang kecil di hutan tidak senang hati dengan kedatangan singa di tempat mereka. Singa itu mengakui dirinya raja walaupun sebenarnya dia bukan raja di hutan itu. Singa itu sangat ganas. Binatang-binatang yang lemah sering menjadi mangsanya. Oleh itu, binatang-binatang di hutan tersebut mencari jalan untuk menghapuskan singa itu.
           Pada suatu hari hening,sekumpulan binatang berkumpul bersama dan berbincang untuk menghapuskan singa yang angkuh itu.“Biar saya yang pergi berjumpa dengan singa itu. Saya akan merayu kepadanya agar tidak menangkap haiwan di hutan ini lagi,” kata seekor rusa kepada kawan-kawannya. Dia sanggup berkorban nyawa demi keselamatan rakan-rakannya.
            Semasa pertemuan dengan rusa, singa itu berkata dengan angkuh.
            “Kalau kamu tidak mahu aku menangkap binatang di hutan ini lagi, kamu hendaklah mempersembahkan makanan kepada aku setiap  hari.” Terdiam semua binatang apabila kehendak singa itu disampaikan oleh rusa kepada mereka.
            Naik darah seladang mendengar kata-kata singa itu. Dia berfikir sejenak lalu berkata dengan marah.
            “Jangan beri muka kepada singa yang kejam itu. Ada hati dia mahu makan kita. Kita mesti membunuhnya sebelum kita menjadi mangsa yang seterusnya.”
            “Tapi bagaimana, seladang?” sampuk arnab yang hanya berdiam diri sejak tadi.
            “Kita masih ada jalan. Biar saya yang menjadi mangsanya yang pertama,” kata zirafah dengan berapi-api.
            Esoknya, zirafah pergi menyerah diri kepada singa itu.
            “Mengapa lambat, ha? Engkau tahu tak, aku lapar?” herdik singa.
            “Ma ... ma ... maafkan patik tuanku, semasa dalam perjalanan ke sini, patik telah ditangkap oleh seekor singa yang mengaku dirinya raja,” sembah zirafah pura-pura ketakutan.
            “Apa? Raja? Hanya aku raja di hutan ini! Tunjukkan kepadaku tempat si bedebah itu. Biar aku tamatkan riwayatnya!” kata singa dengan bengis. Panas hati singa mendengar penjelasan zirafah.
            Zirafah pun membawa singa ke sebuah perigi. Apabila tiba di tepi perigi tersebut, zirafah pun berkata, “Itu dia singa yang mengaku dirinya raja, tuanku,” Zirafah menunjukkan bayang-bayang singa di dalam perigi itu. Tanpa membuang masa, singa pun terjun ke dalam perigi tersebut untuk membunuh Sang Singa yang dilihatnya itu. Zirafah riang kerana rancangannya berjaya.
            Semenjak itu,zirafah itu terus dianggap wira oleh kawan-kawannya.Akhirnya, binatang-binatang di hutan tersebut hidup dengan aman dan bahagia.
 Kamus Peribahasa:
 Simpulan bahasa:
 1.Panjang akal-Maksud: Cerdik.
 Contoh Ayat: Walaupun tidak tahu berenang tetapi dia panjang akal. Akhirnya dia berjaya mencipta alat untuk terapung di atas air supaya boleh berenang.
 2. Naik darah-Maksud: Terlalu marah.
  Contoh Ayat: Ibu selalu naik darah kerana perangai anaknya yang sangat nakal.
 3. Ada hati-Maksud: Ada keinginan
 Contoh Ayat:Ibu ada hati untuk melihat anak-anaknya berjaya pada masa hadapan.
 4. Beri muka-Maksud: Memanjakan.
 Contoh Ayat: Kalau kerap diberi muka, mereka akan menjadi malas.
 5.Panas hati- meradang atau marah
 Contoh Ayat:Amir panas hati apabila dia dituduh mencuri oleh rakannya.
Berdasarkan petikan kisah teladan tersebut,jawab soalan berikut:
1.Mengapa binatang-binatang kecil tidak senang hati dengan kedatangan singa di tempat mereka?
2.Namakan binatang yang menjadi wira menghapuskan singa di tempat mereka?
3.Bagaimana binatang yang menjadi wira itu menghapuskan singa?
Pengajaran kisah teladan tersebut ialah:
  • Kita tidak boleh memusuhi antara satu sama lain.
  • Kita tidak boleh sombong terhadap kawan.
  • Kita perlu berbincang dan meminta pendapat dari orang yang lebih arif sebelum membuat keputusan.
  • Kita perlu berani dan bijak menghadapi cabaran dan dugaan.