Friday 23 November 2012

Kisah Teladan:Zirafah Yang Panjang Akal

Zirafah yang Panjang Akal

            Binatang-binatang kecil di hutan tidak senang hati dengan kedatangan singa di tempat mereka. Singa itu mengakui dirinya raja walaupun sebenarnya dia bukan raja di hutan itu. Singa itu sangat ganas. Binatang-binatang yang lemah sering menjadi mangsanya. Oleh itu, binatang-binatang di hutan tersebut mencari jalan untuk menghapuskan singa itu.
           Pada suatu hari hening,sekumpulan binatang berkumpul bersama dan berbincang untuk menghapuskan singa yang angkuh itu.“Biar saya yang pergi berjumpa dengan singa itu. Saya akan merayu kepadanya agar tidak menangkap haiwan di hutan ini lagi,” kata seekor rusa kepada kawan-kawannya. Dia sanggup berkorban nyawa demi keselamatan rakan-rakannya.
            Semasa pertemuan dengan rusa, singa itu berkata dengan angkuh.
            “Kalau kamu tidak mahu aku menangkap binatang di hutan ini lagi, kamu hendaklah mempersembahkan makanan kepada aku setiap  hari.” Terdiam semua binatang apabila kehendak singa itu disampaikan oleh rusa kepada mereka.
            Naik darah seladang mendengar kata-kata singa itu. Dia berfikir sejenak lalu berkata dengan marah.
            “Jangan beri muka kepada singa yang kejam itu. Ada hati dia mahu makan kita. Kita mesti membunuhnya sebelum kita menjadi mangsa yang seterusnya.”
            “Tapi bagaimana, seladang?” sampuk arnab yang hanya berdiam diri sejak tadi.
            “Kita masih ada jalan. Biar saya yang menjadi mangsanya yang pertama,” kata zirafah dengan berapi-api.
            Esoknya, zirafah pergi menyerah diri kepada singa itu.
            “Mengapa lambat, ha? Engkau tahu tak, aku lapar?” herdik singa.
            “Ma ... ma ... maafkan patik tuanku, semasa dalam perjalanan ke sini, patik telah ditangkap oleh seekor singa yang mengaku dirinya raja,” sembah zirafah pura-pura ketakutan.
            “Apa? Raja? Hanya aku raja di hutan ini! Tunjukkan kepadaku tempat si bedebah itu. Biar aku tamatkan riwayatnya!” kata singa dengan bengis. Panas hati singa mendengar penjelasan zirafah.
            Zirafah pun membawa singa ke sebuah perigi. Apabila tiba di tepi perigi tersebut, zirafah pun berkata, “Itu dia singa yang mengaku dirinya raja, tuanku,” Zirafah menunjukkan bayang-bayang singa di dalam perigi itu. Tanpa membuang masa, singa pun terjun ke dalam perigi tersebut untuk membunuh Sang Singa yang dilihatnya itu. Zirafah riang kerana rancangannya berjaya.
            Semenjak itu,zirafah itu terus dianggap wira oleh kawan-kawannya.Akhirnya, binatang-binatang di hutan tersebut hidup dengan aman dan bahagia.
 Kamus Peribahasa:
 Simpulan bahasa:
 1.Panjang akal-Maksud: Cerdik.
 Contoh Ayat: Walaupun tidak tahu berenang tetapi dia panjang akal. Akhirnya dia berjaya mencipta alat untuk terapung di atas air supaya boleh berenang.
 2. Naik darah-Maksud: Terlalu marah.
  Contoh Ayat: Ibu selalu naik darah kerana perangai anaknya yang sangat nakal.
 3. Ada hati-Maksud: Ada keinginan
 Contoh Ayat:Ibu ada hati untuk melihat anak-anaknya berjaya pada masa hadapan.
 4. Beri muka-Maksud: Memanjakan.
 Contoh Ayat: Kalau kerap diberi muka, mereka akan menjadi malas.
 5.Panas hati- meradang atau marah
 Contoh Ayat:Amir panas hati apabila dia dituduh mencuri oleh rakannya.
Berdasarkan petikan kisah teladan tersebut,jawab soalan berikut:
1.Mengapa binatang-binatang kecil tidak senang hati dengan kedatangan singa di tempat mereka?
2.Namakan binatang yang menjadi wira menghapuskan singa di tempat mereka?
3.Bagaimana binatang yang menjadi wira itu menghapuskan singa?
Pengajaran kisah teladan tersebut ialah:
  • Kita tidak boleh memusuhi antara satu sama lain.
  • Kita tidak boleh sombong terhadap kawan.
  • Kita perlu berbincang dan meminta pendapat dari orang yang lebih arif sebelum membuat keputusan.
  • Kita perlu berani dan bijak menghadapi cabaran dan dugaan.

3 comments:

  1. Kita perlu berani dan bijak menghadapi cabaran dan dugaan

    ReplyDelete
  2. Binatang-binatang kecil di hutan tidak senang hati dengan kedatangan singa di tempat mereka. Singa itu mengakui dirinya raja walaupun sebenarnya dia bukan raja di hutan itu

    ReplyDelete
  3. CASINO GAMING - Top Poker Tournaments and
    Our casino 무료 룰렛 게임 poker tournaments are open 24 hours a 승인 전화 없는 사이트 day, 7 days a week, with weekly 대딸 야동 tournaments taking place every day. Sign Up 비트 코인 게임 Now! 망고 도메인

    ReplyDelete